Firman Allah Taala:
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْءَانُ ..
"Bulan Ramadhan (ialah bulan yang sungguh mulia lagi berkat), yang padanya diturunkan Al-Qur'an .. (1)
Diterangkan kebaikan bulan puasa dalam hadith yang berikut:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الرَّحْمَةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ وَسُلْسِلَتْ الشَّيَاطِينُ . (رواه مسلم
8- Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apabila masuk bulan Ramadhan, terbukalah pintu-pintu rahmat dan tertutuplah pintu-pintu neraka serta terbelenggulah syaitan-syaitan (daripada merasuk mangsanya)".(1)
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim)
Menurut huraian ulama' rahimahumullah., bahawa terbukanya pintu-pintu syurga dan tertutupnya pintu-pintu neraka, serta terbelenggunya syaitan-syaitan di sepanjang bulan Ramadhan, boleh difaham menurut maksudnya yang zahir untuk menghormati bulan yang mulia itu. Dan boleh juga difahamkan sebagai satu gambaran bahawa orang-orang yang berjaya merebut peluang mengisi bulan Ramadhan dengan berbagai jenis ibadat - yang wajib dan yang sunat dan berjaya pula mencegah dirinya daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang, maka amalnya yang baik itu akan membawanya masuk ke syurga dan amalnya itulah juga yang menyelamatkannya dari hasutan syaitan dan dari azab neraka.