Marilah kita terus bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana kita terpilih menjadi orang-orang yang beriman di tengah-tengah majoriti masyarakat dunia yang tidak beriman kepada Allah S.W.T.
Puji-pujian dirafa’kan kehadrat Ilahi yang telah memberi hidayah kepada kita ke jalan ini (jalan iman dan Islam).
Sebenarnya kita tidak akan mendapat hidayah itu sekiranya tidak dikurniakan oleh Allah S.W.T.
Hakikatnya, nikmat Allah S.W.T. ke atas kita tidak terhitung banyaknya. Allah S.W.T. telah berfirman yang bermaksud:
“Jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat (tidak mampu) menghitungnya. “
Oleh itu wajarlah kita sentiasa bersyukur ke hadrat Allah S.W.T. Ustaz Muhammad Syadid di dalam kitabnya: منهج القرءان في التربية menjelaskan bahawa kepekaan yang berterusan terhadap ni’mat-nikmat Allah dan kurniaan-Nya, akan menyuburkan lagi rasa cinta kepada-Nya dan mengangkat jiwa kepada maqam (martabat) syukur.
Bersyukur kepada Allah atas segala nikmat-Nya tidak hanya sekadar dengan ucapan lisan ‘Alhamdulillah’ (الحمد لله), bahkan bersyukur dalam bentuk amali dan praktikallah yang membuktikan seseorang itu bersyukur ke hadrat Allah S.W.T.
Nikmat Allah S.W.T. sangat banyak:
Pancaindera dan anggota tubuh badan adalah nikmat Allah. Apabila digunakan dan dimanafaatkan pancaindera dan anggota-anggota badan itu pada perkara-perkara, kerja-kerja dan aktiviti-aktiviti yang diredhai oleh Allah, maka seseorang itu dikira telah bersyukur kepada Allah S.W.T.
Akal yang baik lagi waras adalah nikmat Allah. Apabila akal itu digunakan dan dimanfaatkan untuk memahami kitab Allah dan agama Allah (دين الله), juga berfikir terhadap nikmat dan kejadian-kejadian ciptaan Allah S.W.T, maka ia termasuk di dalam ertikata bersyukur ke hadrat Allah S.W.T.
Harta benda dan wang ringgit adalah niKmat Allah S.W.T. Apabila harta benda itu diinfaqkan dan dibelanjakan pada Jalan Allah ( فى سبيل الله ) atau di dalam batas-batas syara’ atau pada perkara-perkara yang dihalalkan oleh syara’ maka ia juga dinamakan bersyukur ke hadrat Allah Subhanahuwata’ala.
Ilmu pengetahuan, kemahiran dan kepakaran adalah ni’mat AllahS.W.T. Apabila dimanafaatkan untuk kebaikan diri dan disebarkan, dikembangkan dan disampaikan untuk kebaikan ummah, maka ia juga dikira bersyukur ke hadrat Allah S.W.T.
Nikmat yang paling besar
Sesungguhnya ni’kmat Allah itu amat banyak dan tidak termampu kita menghitungnya satu persatu.
Namun, sewajarnya kita menyedari bahawa nikmat Allah yang paling besar ialah nikmat iman, nikmat Islam (نعمة إيمان – نعمة إسلام). Atau dengan kata lain: nikmat kita mendapat Hidayah Allah S.W.T. Maka tanda kesyukuran kita kepada Allah yang telah mengurniakan nikmat agung itu, hendaklah kita benar-benar beriman dan menerima din Islam seluruhnya tanpa sebarang penolakan.
Firman Allah S.W.T. dalam ayat 208 Surah al Baqarah :
“Wahai orang-orang yang beriman masuklah (anutlah) Islam seluruhnya dan janganlah kamu mengikut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata (musuh ketat terhadap manusia). “
Islam: Agama yang sempurna dan selamat
Islam adalah Agama Allah S.W.T. yang sempurna meliputi peraturan-peraturan, aqidah, ibadah, akhlaq dan apa jua yang menyentuh kehidupan manusia dan alam seluruhnya. Ini kerana Islam diturunkan oleh Allah untuk manusia dan alam seluruhnya. Allah Maha Mengetahui apakah jalan hidup yang baik dan selamat untuk makhluk-Nya di dunia dan akhirat nanti.
Oleh itu kita sewajibnya bersyukur ke hadrat Allah kerana kita terpilih untuk beriman dan menerima din Allah, yakni din Islam yang dibawa oleh para rasul dan rasul yang terakhir ialah Rasulullah Nabi Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam, dimana Islam itu disempurnakan pada zaman kerasulan Nabi Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam berdasarkan kepada ayat 3 Surah al Maaidah :
“Pada hari ini (hari diturunkan ayat ini, di ‘arafah pada masa Nabi Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam mengerjakan hajjatul wida’ (حجة الوداع) tahun 10 Hijrah ). Aku telah sempurnakan bagi kamu din kamu dan Aku telah sempurnakan atas kamu ni’mat-Ku dan Aku redhalah Islam itu sebagai din kamu“
Penentu kebenaran
Walaupun Islam itu agama Allah dan diberi jaminan selamat dunia dan akhirat oleh Allah S.W.T. kepada sesiapa yang benar-benar menganutnya, tetapi majoriti manusia dan umat di dunia ini tidak menerimanya, bahkan menentangnya. Dan telah ternyata buktinya di dalam sejarah bahawa kebanyakan manusia menentang dan menolak ajaran Allah Subhanahuwata’ala yang telah dibawa oleh para Rasul sehingga ada sebilangan nabi dan rasul yang dibunuh seperti Nabi Zakaria ‘Alaihissalam dan Nabi Yahya ‘Alaihissalam.
Mereka dibunuh oleh orang-orang Yahudi, bahkan, Nabi Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam sendiri sudah dikepung di rumah baginda oleh masyara’at Arab Quraisy untuk membunuh baginda. Namun ia tidak diizinkan oleh Allah Subhanahuwata’ala, yang mana akhirnya berlakulah peristiwa Hijrah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dari Makkah ke Kota Madinah (Yathrib) seperti yang terakam di dalam sirah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam.
Satu persoalan, apakah penentu kebenaran itu berdasarkan bilangan sokongan? (ramai orang menyokong atau tidak ada orang menyokong?). Sebenarnya penentuan kebenaran (الحق) bukanlah ditentukan oleh manusia tetapi ditentukan oleh Allah Subhanahuwata’ala berdasarkan ayat 147 Surah al Baqarah:
“Kebenaran itu datangnya daripada Allah (Pencipta, Pemilik, Penjaga kamu ), maka janganlah sekali-kali kamu termasuk di dalam golongan orang-orang yang ragu.”
Juga didasarkan kepada Qaedah Syara’ :
الحسن ما حسنه الشرع والقبيح ما قبحه الشرع
Perkara yang baik ialah apa yang dihukum baik oleh syara’ (oleh Allah) dan perkara yang buruk ialah apa yang dihukum buruk oleh syara’ (oleh Allah).
Oleh itu apabila terdapat percanggahan antara apa-apa yang ditetapkan oleh syara’ (oleh Allah) dengan penilaian manusia yang mengikut hawanafsu, maka mestilah diambil pakai apa-apa yang ditentukan/dihukumkan oleh syara’. Barulah tepat dengan pengakuan-pengakuan kita: kita hamba Allah, kita penganut Islam, kita orang yang beriman, Kita ahlussunnah wal jama’ah (أهل السنة والجماعة), kita generasi rabani dan lain-lain pengakuan yang bersifat Islam.
Marilah sama-sama kita bina keyakinan diri kita yang tidak berbelah bahagi kepada din Allah (din Islam) dan marilah sama-sama kita berusaha dengan penuh rasa taqwa dan bertanggungjawab kepada Allah Subhanahuwata’ala bagi meletakkan kembali Islam dalam kehidupan masyara’at, setelah ia terabai atau diabaikan oleh majoriti manusia.
Semoga kita dengan izin Allah S.W.T. dapat berkongsi pahala dan ganjaran baik di sisi Allah S.W.T. dalam ayat 22 Surah Luqman.
“Sesiapa yang menyerah dirinya kepada Allah (dengan penuh keikhlasan), sedang ia berusaha melaksanakan kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan tali (din Islam) yang kukuh. Dan (ingatlah) kepada Allah tempat kembali (kesudahan) segala urusan.”
Rujukan:
Khutbah Ustaz Omar Haji Salleh (4 Rejab 1425H, 20 Ogos 2004).
No comments:
Post a Comment